MACHANG - Seramai 16 pelajar memulakan pengajian dalam bidang syariah
di Madrasah Ribat Al-Musthofa sekalipun pembinaan pondok itu belum siap
sepenuhnya.
Pengurusnya, Arman Awang berkata, pengambilan pelajar tersebut adalah seiring dengan kesungguhan pihaknya menjayakan pondok itu.
Menurutnya, buat sementara waktu, mereka ditempatkan di masjid berdekatan dan dijangka berpindah ke asrama pondok selepas Syawal nanti.
Katanya lagi, lebih kurang 30 peratus kerja pembinaan di pondok itu berjaya disiapkan termasuk asrama dan masjid.
“Pembinaan pondok ini memerlukan belanja yang besar dan dianggarkan bernilai RM1.8 juta dengan bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai. Jadi, anggaran masa siap sepenuhnya tidak boleh ditentukan, namun kami menerima sambutan yang baik daripada penderma.
“Pembinaan madrasah di Kampung Bagan Bawah ini merangkumi asrama, masjid, rumah guru, dewan makan dan stor, sekali gus menjadikannya pusat pengajian yang lengkap,” katanya.
Menurut Arman, pembinaan asrama dimulakan sejak Ogos tahun lalu secara bergotong-royong dalam usaha menjimatkan kos, yang dilaksanakan ahli Pertubuhan Pelajar Kelantan Yaman (Perkaya) dan juga orang ramai.
Katanya, pondok itu adalah usaha Perkaya untuk berbakti kepada masyarakat selepas pulang ke tanah air dan pihaknya berharap kerja pembinaan berjalan dengan lebih lancar hasil sumbangan pelbagai pihak.
Menurutnya, bagi menampung keperluan pondok itu, pihaknya turut menawarkan derma wakaf lot tanah dengan nilai RM60 bagi setiap lot.
“Kami mengalu-alukan sumbangan dan berharap usaha ini memberi manfaat yang besar kepada masyarakat terutama golongan muda dalam menuntut ilmu.
“Orang ramai yang berminat menderma, boleh melakukannya melalui akaun Maybank 553083206003 atau menghubungi saya di talian 012-9395128 atau 019-9385186 bagi mendapatkan maklumat lanjut, “ katanya
No comments:
Post a Comment